Wednesday, March 2, 2011

Tempoh bayaran saman trafik dilanjutkan 10 hari lagi

02/03/2011
2:33pm

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

PUTRAJAYA 2 Mac – Tempoh bayaran saman trafik yang berakhir Isnin lepas kini dilanjutkan selama 10 hari lagi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut beliau, lanjutan tempoh bayaran saman tersebut bagi membolehkan orang ramai melunaskan tunggakan saman mereka.

Semalam, Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, sebanyak 17.3 juta saman yang gagal dijelaskan oleh pengguna kenderaan di seluruh negara akan disenaraihitamkan mulai Selasa.

Tindakan itu diambil setelah tempoh yang diberikan untuk orang ramai membayar saman tersebut sejak Ogos tahun lalu, berakhir. - Utusan


P/S: Buat rakan-rakan yang belum bayar saman tu boleh la buat bayaran saman sebab dah di sambungkan tempoh bayaran sehingga 10 Mac 2011. Selamat Membayar saman...

Orang ramai cadangankan bayar saman trafik secara beransur-ansur

KUALA LUMPUR 2 Mac - Orang ramai meminta polis membenarkan saman tertunggak dibayar secara beransur-ansur bagi membolehkan pesalah lalu lintas, terutama golongan berpendapatan rendah melangsaikan kesemua saman mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, walaupun orang ramai gembira dengan pengumuman kerajaan melanjutkan tempoh bayaran saman berdiskaun selama 10 hari lagi, namun bagi mereka yang makan gaji, jumlah wang yang diperoleh setiap bulan adalah tetap dan tidak memungkinkan mereka membayar jumlah saman yang besar secara sekali gus.

Pekerja am, Khairul Hasan Abdullah Hasan, 35, berkata, bukan semua pesalah lalu lintas berupaya melunaskan saman kerana terdapat pelbagai faktor yang membuatkan mereka terpaksa menangguhkan hasrat untuk berbuat demikian.

"Kekurangan wang adalah masalah utama yang menghalang golongan berpendapatan rendah daripada membayar saman. Gaji yang rendah ditambah lagi bilangan ahli keluarga yang ramai untuk ditanggung membuatkan seseorang itu mengetepikan saman yang diterima.

"Kerajaan harus memikirkan beberapa kaedah lain selain saman berdiskaun untuk meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan ini seperti membenarkan bayaran secara beransur-ansur," katanya.

Seorang pelajar, Nurazlina Abdullah, 20, turut mencadangkan perkara yang sama kerana berasakan ia mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung pesalah yang tidak berkemampuan membayar saman.

"Sistem pembayaran secara beransur-ansur ini harus diguna pakai dalam sistem baru yang berkuat kuasa semalam kerana ia adalah satu cara untuk mendorong pesalah lalu lintas membayar saman.

"Lihat sahaja jumlah saman tertunggak yang masih belum dibayar. Bayangkan jika 17.3 juta saman itu habis dibayar, sudah tentu jutaan ringgit akan diraih kerajaan," katanya.

Pekerja swasta, L. Siva, 32, berkata, kerajaan harus mengkaji semula tempoh dua bulan yang diberikan untuk pemandu menjelaskan saman sebelum kes dibawa ke mahkamah kerana bukan semua pesalah berupaya melunaskan saman dalam tempoh itu.

"Saya bersetuju dengan kaedah saman berdiskaun tapi yang mungkin menjadi masalah ialah tempoh dua bulan yang diberi itu.

"Lebih baik sekiranya tempoh itu ditambah sebulan lagi supaya semua pihak berpuas hati dengan perkara ini selain dibenarkan membayar secara beransur-ansur," katanya.

Dalam pada itu pesara kerajaan, Yazid Mohamad, 64, berkata, tindakan menyenarai hitam harus dilakukan terhadap pesalah lalu lintas yang enggan membayar saman serta tidak berusaha untuk melunaskannya.

"Daripada apa yang kita boleh lihat beberapa hari yang lalu, ramai yang berusaha untuk menjelaskan saman mereka.

"Tempoh yang berakhir kelmarin menyebabkan ramai tidak berkesempatan melunaskan saman. Mereka harus diberi peluang untuk berbuat demikian," katanya.

Semak Saman Polis Cara SMS

Panduan Semak Saman Secara SMS


Tuan/ puan boleh check saman polis trafik melalui sms dengan cara :

Taip POLIS SAMAN [NO KAD PENGENALAN] hantar kepada 32728

contoh : POLIS SAMAN 911809105110 hantar kepada 32728

atau untuk dapatkan maklumat lebih detail , taip sms :

SAMAN POLIS [no pendaftaran kenderaan] SEMUA , hantar kepada 32728

Kalau mahu detail saman dihantar ke alamak email, taip

POLIS SAMAN [no pendaftaran kenderaan] [email ] hantar kepada 32728

Contoh : POLIS SAMAN ABC123 akurempit@yahoo.com dan hantar ke 32728

Cara nak buat bayaran : pergi ke bahagian trafik di balai polis berdekatan.. Bawa duit.


Semoga entri ni membantu anda.